fb fb fb fb fb

Ringgit terus meningkat berikutan ketidaktentuan tarif

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada Khamis, didorong oleh Indeks Dolar AS (DXY) yang lemah, yang menyusut 0.25 peratus kepada 98.386 mata.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penyusutan itu susulan laporan bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhasrat untuk mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan tarifnya dalam tempoh dua minggu akan datang.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.2155/2245 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2370 semasa ditutup pada Rabu.

Beliau berkata, pengumuman itu telah meningkatkan lagi ketidakpastian mengenai hasil rundingan perdagangan yang sedang dijalankan.

“Walau apa pun keadaannya, tarif universal sebanyak 10 peratus dijangka memberi tekanan kepada ekonomi AS dan risiko tindakan balas dari negara lain di seluruh dunia akan menonjolkan lagi risiko penyusutan kepada pertumbuhan global,” katanya kepada Bernama

Mata wang pasaran pesat membangun termasuk ringgit menerima manfaat daripada trend semasa.

Menurutnya peserta pasaran akan memantau dengan teliti Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 hingga 18 Jun ini.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.9329/9394 daripada 2.9187/9207, lemah berbanding pound Britain kepada 5.7213/7335 daripada 5.7166/7200 dan susut berbanding euro kepada 4.8765/8869 daripada 4.8426/8454 sebelumnya.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau ASEAN, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.55/7.57 daripada 7.57/7.59 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 259.5/260.2 daripada 260.4/260.6.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2934/3006 daripada 3.2925/2947 semasa ditutup semalam dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9828/13.0173 daripada 12.9729/9870 semalam.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE