KUALA LUMPUR, 12 Jun- Kontrak niaga hadapan di Bursa Malaysia Derivatives meningkat untuk dua hari berturut-turut, didorong oleh data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah, yang mengukuhkan jangkaan pasaran bagi pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS akhir tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata emas terus menarik minat belian sebagai aset selamat.
Menurut Jabatan Buruh AS, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.1 peratus pada Mei, susut daripada kenaikan 0.2 peratus pada April.
Kontrak semerta bulan Jun 2025 naik kepada US$3,368.5 setiap auns troy daripada US$3,347.8 pada Rabu, manakala kontrak Julai 2025 menokok kepada US$3,377.0 daripada US$3,356.3 semalam.
Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,396.5 setiap auns troy daripada US$3,375.8 sebelumnya.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 44 lot berbanding 38 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka susut kepada 69 kontrak daripada 84 kontrak.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 11 Jun, harga emas fizikal berada pada US$3,329.70 setiap auns troy.- BERNAMA