fb fb fb fb fb

Indeks harga seunit besi catat penurunan pada Mei 2025 - DOSM

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Indeks harga seunit besi mencatat penurunan antara -0.1 peratus hingga -3.1 peratus di kebanyakan kawasan di Malaysia pada Mei 2025 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ia berkata indeks harga seunit bahan itu telah mencatat penurunan selama lima bulan berturut-turut.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tertinggi direkodkan di Miri (-3.1 peratus), diikuti oleh Tawau (-2.4 peratus) serta Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.3 peratus).

“Indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga menunjukkan penurunan kecil antara -0.1 peratus hingga -3.5 peratus pada Mei 2025 berbanding bulan sebelumnya.

“Penurunan tertinggi bagi bahan ini direkodkan di Miri (-3.5 peratus), diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-1.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, DoSM melaporkan indeks harga seunit simen kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, ia berkata indeks harga seunit simen meningkat sedikit di beberapa kawasan, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.4 peratus), serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.3 peratus).

Perbandingan tahunan bagi tempoh Mei 2024 dan Mei 2025 menunjukkan bahawa indeks harga seunit simen meningkat antara 0.1 peratus hingga 3.5 peratus bagi hampir semua kawasan di Malaysia.

“Peningkatan tertinggi bagi indeks ini direkodkan di Johor dan Tawau, Sabah (3.5 peratus), diikuti oleh Pahang (3.3 peratus).

“Sementara itu, harga purata simen Portland biasa mencatatkan peningkatan kecil (0.2 peratus) dengan harga purata RM23.75 bagi setiap beg 50 kilogram (kg) berbanding April 2025 (RM23.70 bagi setiap beg 50 kg),” kata DoSM.

Selain itu, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi mencatat penurunan antara -2.2 peratus hingga -15.5 peratus pada Mei 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu, bagi hampir semua kawasan di Malaysia.

Mengulas mengenai harga purata seunit besi yang merangkumi bar bulat keluli lembut dan bar besi tegangan tinggi Mycon 60, Mohd Uzir berkata ia mencatatkan penurunan kecil -0.4 peratus, dengan harga purata RM3,476.75 setiap tan pada Mei 2025, berbanding RM3,490.80 setiap tan pada bulan sebelumnya.

Jabatan itu berkata Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia menurun antara -0.1 peratus hingga -0.9 peratus pada Mei 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Ia berkata penurunan IKB dicatatkan bagi hampir semua kategori bangunan dan kawasan, kecuali di Perak.- BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID