fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding Dolar AS terutamanya disebabkan peniaga mengambil langkah berhati-hati, menunjukkan keraguan untuk memasuki pasaran.

Pada 6.02 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.7090/7140 berbanding Dolar AS 4.7145/7180 ketika ditutup pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata daya tahan itu disebabkan pendirian berhati-hati Rizab Persekutuan dalam minit mesyuarat yang dikeluarkan pada Rabu yang memberi bayangan Fed menamatkan siri kenaikan kadar faedahnya.

“Paling penting ialah apabila hasil bon Amerika Syarikat (AS) kekal stabil walaupun risiko geopolitik berkurangan, menunjukkan pasaran percaya Fed telah berhenti menaikkan kadar faedahnya.

“Peniaga turut memantau dekat Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang akan dikeluarkan malam ini, dan jika ia selari dengan jangkaan, hasil bon AS boleh terus menurun, dan ini memberikan sokongan tambahan kepada Ringgit,” katanya kepada Bernama.


(Foto hiasan)

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 5.0005/0058 daripada 4.9983/5.0020 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7925/7987 daripada 5.7918/7961 ketika ditutup pada Rabu.

Sementara itu, ia meningkat berbanding Yen kepada 3.1572/1614 daripada 3.1711/1737 ketika ditutup semalam.

Mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia naik berbanding Dolar Singapura kepada 3.4556/4598 daripada 3.4587/4617 dan juga Rupiah Indonesia kepada 299.9/300.4 daripada 300.2/300.6 ketika ditutup pada Rabu.

Ia susut berbanding Baht Thailand kepada 12.9997/13.0207 daripada 12.9462/9615 dan juga berbanding Peso Filipina kepada 8.31/8.32 daripada 8.30/8.32 sebelumnya.- BERNAMA

Media Baharu