fb fb fb fb fb

Rangka perundangan AI akan dibentang di Dewan Rakyat – Gobind

Kementerian Digital kini sedang merangka laporan terperinci berhubung keperluan perundangan bagi kecerdasan buatan (AI) untuk dibentangkan di Dewan Rakyat / Foto Hiasan / Reuters

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Kementerian Digital kini sedang merangka laporan terperinci berhubung keperluan perundangan bagi kecerdasan buatan (AI) untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata kajian berkaitan perkara itu telah dimulakan oleh Pejabat Kecerdasan Buatan Nasional (NAIO) dan dijangka akan diserahkan kepada kementeriannya dalam masa terdekat.

"Kementerian saya sedang menyediakan laporan yang akan dibawa ke Kabinet untuk keputusan berkaitan dengan langkah seterusnya," katanya selepas merasmikan kempen ‘Kita Bagi Jadi Komuniti’ oleh CIMB Group Holdings Bhd, di sini hari ini.

Tambah beliau, laporan tersebut akan turut merangkumi cadangan langkah lanjut termasuk penilaian terhadap pendekatan perundangan yang telah diguna pakai oleh beberapa negara lain dalam menetapkan piawaian dan peraturan khusus berkaitan AI.

Gobind menjelaskan, memandangkan penggunaan AI merentas pelbagai sektor, kerajaan perlu menilai sama ada setiap sektor memerlukan undang-undang khusus, atau sekadar diselia melalui piawaian dan peraturan sedia ada.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN