KUALA LUMPUR, 15 November- AmBank dan Matrix Concepts menandatangani kemudahan pembiayaan bernilai RM512 juta untuk pembangunan projek Malaysia Vision Valley 2.0.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, kemudahan pembiayaan tersebut menyokong usaha inovasi dalam sektor hartanah dengan fokus kepada perumahan mampu milik.
"Projek ini melibatkan kediaman mampu milik dengan elemen hijau. AmBank sentiasa menyokong pembiayaan hijau. Masih pada fasa awal dan melibatkan pembelian tapak.
"Tetapi konsep hijau itu sendiri sudah cukup baik, sama ada bandar baharu atau elemen kecekapan tenaga menggunakan solar misalnya, kami berminat menyokong projek sedemikan,"katanya.
Beliau bercakap pada sidang media majlis pemeteraian perjanjian tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin.
Projek dengan keluasan lebih 559 hektar itu, membabitkan nilai pembangunan kasar RM7 bilion.
Pembangunannya dijangka bermula tahun depan dan mengambil masa selama 10 tahun untuk diselesaikan.