fb fb fb fb fb

TM sertai projek kabel dasar laut Candle, kukuhkan hubungan digital ASEAN–Jepun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 September - Telekom Malaysia Berhad (TM) menyertai konsortium antarabangsa membangunkan sistem kabel dasar laut Candle, rangkaian sepanjang 8,000 kilometer yang menghubungkan Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Dijangka beroperasi pada 2028, Candle menggunakan teknologi 24 pasang gentian optik.

Ia merupakan antara yang pertama di Asia Pasifik dengan kapasiti trafik lebih tinggi bagi memenuhi lonjakan permintaan komunikasi data, didorong oleh 5G dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Amar Huzaimi Md Deris, berkata penyertaan TM mencerminkan komitmen syarikat dalam membina infrastruktur digital berdaya tahan.

“Ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN serta seiring aspirasi TM untuk muncul sebagai Digital Powerhouse menjelang 2030, mewujudkan jambatan digital antara Malaysia dan komuniti global,” katanya.

Inisiatif Candle itu menandakan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh kesalinghubungan antarabangsa, menjamin penghantaran data yang lebih selamat dan boleh dipercayai.

Ia turut memacu pertumbuhan ekonomi digital Asia Pasifik.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM