KUALA LUMPUR, 23 September – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melancarkan kumpulan terakhir Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Langkah berkenaan sekali gus mempercepakan usaha mengantarabangsakan syarikat tempatan berpotensi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dalam satu kenyataan memaklumkan, MTCDP bukan sekadar program, sebaliknya platform strategik untuk melahirkan juara global Malaysia.
“Gelombang terakhir ini bukan penamat, tetapi batu loncatan ke arah masa depan. MATRADE bersedia membawa momentum ini ke RMKe-13 dengan strategi lebih tajam dan penglibatan industri lebih mendalam,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2014, program berimpak tinggi ini telah membimbing lebih 370 syarikat pertengahan (MTC) dalam pelbagai sektor untuk memperkukuh daya saing eksport dan menembusi pasaran antarabangsa.
Program tersebut menyasarkan syarikat berorientasikan eksport dengan hasil tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta bagi sektor pembuatan dan RM20 juta hingga RM500 juta bagi sektor perkhidmatan.