fb fb fb fb fb

Perodua QV-E: Sambutan positif, lebih 5,000 datang pandu uji

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Model kenderaan elektrik (EV) Perodua QV-E menerima sambutan positif apabila lebih 5,000 pelanggan hadir ke pusat jualan terpilih untuk pandu uji, setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, walaupun pandu uji hanya dibuka di sembilan cawangan terpilih , sambutan terhadap EV nasional itu amat memberangsangkan.

Menurut beliau, kekangan pengeluaran dan jumlah kenderaan pandu uji yang terhad menyebabkan jadual pandu uji perlu diatur secara berperingkat.

"Setakat ini, kita menerima lebih 5,000 pelanggan yang hadir secara walk-in untuk pandu uji. Sambutan memang baik, cuma kita perlu menyusun jadual kerana jumlah kereta untuk pandu uji masih terhad," katanya.

Datuk Seri Zainal Abidin memberitahu, kebanyakan pelanggan turut mengemukakan soalan berkaitan aspek teknikal EV termasuk bateri, aksesori serta perkhidmatan selepas jualan.

Beliau memaklumkan, pihaknya memberi penekanan kepada pengurusan kitar hayat bateri EV secara menyeluruh bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Jelasnya, Perodua turut mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkaitan isu penyelenggaraan bateri serta tanggungjawab pengeluar.

"Idea utama adalah memastikan keseluruhan kitar hayat bateri diurus dengan baik tanpa memberi kesan kepada alam sekitar. Perancangan ini bukan sahaja untuk sekarang, malah untuk jangka panjang. Sekiranya bateri perlu dilupuskan pada masa hadapan, ia akan menjadi tanggungjawab Perodua," ujarnya kepada media pada majlis pelancaran kenderaan utiliti sukan (S-U-V) terbaharu, Perodua Traz, di sini pada Rabu.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN