fb fb fb fb fb

Syarikat Jerman kekal optimistik terhadap prospek ekonomi Malaysia

Keyakinan Jerman terhadap prospek ekonomi Malaysia kekal tinggi / RTM

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Syarikat-syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia kekal optimistik terhadap pasaran tempatan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC) memaklumkan, keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia kekal tinggi, dengan 90% syarikat menjangkakan keadaan ekonomi pada 2026 akan terus stabil dan menggalakkan.

Hasil tinjauan melibatkan ahli MGCC juga mendapati, 87% daripada responden menyifatkan prestasi perniagaan semasa di tahap yang baik dan memuaskan.

Pengarah Eksekutif MGCC, Hannes Farlock berkata, tahap keyakinan ini turut disokong oleh unjuran prestasi perniagaan bagi tahun akan datang, dengan 49% syarikat menjangkakan peningkatan prestasi perniagaan, manakala 43% menjangkakan keadaan kekal stabil.

Hanya 7% meramalkan kemerosotan, mencerminkan daya tahan yang meluas dalam kalangan komuniti perniagaan.

“Persekitaran perniagaan yang baik, kestabilan dasar serta ekosistem tempatan yang kukuh terus menjadikan Malaysia sebagai lokasi yang boleh dipercayai dan berdaya saing dalam ASEAN."

''Hubungan ekonomi Malaysia-Jerman yang dibina melalui jalinan kerjasama untuk beberapa dekad, pemindahan teknologi dan pelaburan bersama berada pada kedudukan yang baik untuk diperkukuh lagi,” menurutnya.

Hampir separuh atau 47% daripada syarikat terlibat merancang untuk mengekalkan tahap pelaburan sedia ada.

Sementara itu, 49% syarikat merancang untuk menambah bilangan pekerja dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Manakala 36% menjangkakan tiada perubahan, mencerminkan permintaan tenaga kerja yang stabil.

''Secara keseluruhan, dapatan tinjauan ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai sebuah hab strategik yang berdaya tahan bagi syarikat-syarikat Jerman dalam menghadapi persekitaran global yang semakin kompleks,'' katanya.-RTM

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN