fb fb fb fb fb

Lonjakan pengeluaran minyak sawit pacu potensi biojisim

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Peningkatan pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka membuka peluang yang lebih luas untuk penggunaan tenaga biojisim.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Greenergy Bhd, Lee Yee Chong berkata sisa dan hasil daripada pengeluaran sawit boleh dimanfaatkan melalui teknologi biojisim untuk menjana tenaga hijau yang sekali gus menyumbang kepada usaha negara mencapai pelepasan karbon sifar.

"Penggunaan tenaga biojisim ini tidak terhad kepada industri sawit sahaja. Tenaga biojisim juga boleh digunakan dalam sektor perindustrian lain."

"Sebagai contoh, ia dapat menyokong proses nyahkarbon, mengurangkan penggunaan bahan api fosil seperti gas asli dan arang batu, serta menggantikannya dengan teknologi biojisim kami. Kami teruja kerana ia akan membantu industri dan kami boleh menjadi sebahagian daripadanya," katanya kepada pemberita RTM.

Sementara itu, beliau berkata syarikat tenaga boleh baharu itu juga komited untuk memperluas pasaran di negara anggota ASEAN, terutamanya di Indonesia, yang merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.

"Kami juga sedang menerima pertanyaan berkaitan tenaga biojisim dari Filipina dan Thailand, khususnya mengenai penggunaan pelbagai jenis sisa kelapa. Itu antara bidang yang sedang kami usahakan," tambahnya.

Sebelum ini, pengawal selia industri kepada Reuters melaporkan pengeluaran minyak sawit Malaysia berada pada landasan untuk melepasi 20 juta tan tahun ini buat pertama kali.

Peningkatan itu disokong oleh penuaian yang lebih cekap, ketersediaan tenaga kerja yang lebih baik, serta hasil daripada ladang yang memasuki fasa matang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM