KUALA LUMPUR, 28 Disember- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus diniagakan dalam aliran positif minggu depan.
Ini selari dengan prestasi kukuh emas di Bursa Komoditi Amerika Syarikat (COMEX), meskipun minggu dagangan lebih singkat berikutan cuti umum sambutan Tahun Baharu.
RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya memaklumkan, emas mencatat satu lagi paras tertinggi baharu apabila melepasi AS$4,500 setiap auns troy semasa sesi dagangan awal Jumaat.
Momentum positif itu dijangka berterusan dengan potensi untuk menguji paras rintangan seterusnya pada AS$4,700 setiap auns troy, diikuti AS$4,800 setiap auns troy.
Bank pelaburan itu turut memaklumkan peniaga disarankan mengekalkan pegangan jangka panjang yang bermula pada paras AS$3,562.90 setiap auns troy berdasarkan harga penutup dagangan pada 2 September.
Bagi menguruskan risiko dagangan, paras henti rugi ditetapkan pada AS$4,000 setiap auns troy, yang juga bertindak sebagai paras sokongan utama.
Dari segi teknikal, rintangan segera emas dikenal pasti pada paras AS$4,700 setiap auns troy sebelum berpotensi menguji paras seterusnya pada AS$4,800 setiap auns troy.
Bagi prestasi mingguan pula, kontrak bulan semerta Disember 2025 meningkat kepada AS$4,487.40 setiap auns troy berbanding AS$4,331.30 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.