KUALA LUMPUR, 18 Disember - Penyedia perkhidmatan e-hailing global, InDrive menerima kelulusan lesen operasi e-hailing di Malaysia selepas berjaya memenuhi semua keperluan pematuhan yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sepanjang tempoh pemantauan selama tiga bulan.
Pengurus Operasi Pemandu InDrive, Azlan Anwar berkata, pengesahan itu menandakan komitmen jangka panjang syarikat berkenaan untuk terus beroperasi dan berkembang di pasaran Malaysia.
Tambah beliau, kelulusan berkenaan turut menjamin kestabilan kepada pemandu, penumpang serta keseluruhan ekosistem mobiliti negara.
"Sejak beberapa bulan lalu, kami telah memperkukuh setiap aspek sistem pematuhan. Prosedur dalaman telah diperhalusi, pengesahan dokumen diperketat dan proses audit dipertingkat.
"Ini bagi memastikan hanya pemandu yang memenuhi semua keperluan kawal selia dibenarkan aktif di platform kami," katanya dalam sidang media dan kemas kini kawal selia di sini, hari ini.
Menurutnya, InDrive turut melaksanakan langkah perlindungan tambahan serta lapisan pengesahan bagi mengelakkan sebarang ketidakselarasan atau penggunaan dokumen palsu.
Mengulas mengenai perkembangan pemandu, beliau berkata sasaran untuk mencapai 40,000 pemandu aktif di Malaysia hampir direalisasikan, dengan kira-kira 95 peratus daripada sasaran tersebut telah dicapai setakat ini.
Sebelum ini, APAD mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Penghantaraan (LPP) kepada Maxim dan InDrive susulan audit yang mendapati ketidakpatuhan terutama dalam aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EPV).