KUALA LUMPUR, 12 Januari - Pengeluaran getah asli meningkat 9.3 peratus kepada 30,669 tan metrik pada November 2023, berbanding 28,048 tan metrik pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pekebun kecil menyumbang 85.3 peratus pengeluaran pada tempoh berkenaan, berbanding sektor estet 14.7 peratus.
"Jumlah stok getah asli pada November 2023 meningkat 13.2 peratus kepada 172,335 tan metrik, berbanding Oktober 2023.
"Eksport getah asli berjumlah 51,437 tan metrik bagi tempoh dikaji, susut 8.9 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia November 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau berkata, China kekal sebagai destinasi utama eksport, diikuti Jerman, Iran, Amerika Syarikat dan Pakistan.
Prestasi eksport disumbangkan produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar dan tiub getah.
Menurut Malaysia Rubber Board Digest November 2023, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur.
Secara keseluruhan, sentimen positif disumbangkan langkah rangsangan China dan sasaran ekonomi positif bagi tahun 2024, disebalik kekurangan bekalan getah asli oleh pengeluar utama.