KUALA LUMPUR, 27 November- Pertumbuhan ekonomi negara diyakini positif, berikutan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India, juga Negara Teluk serta lain-lain negara di Asia Barat.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yakin selain manfaat kepada sektor pelancongan, langkah ini juga sebahagian usaha memudah cara urusan pelaburan khususnya prospek pengembangan perniagaan di Malaysia.
"Ini adalah satu inisiatif yang menjadi pemudah cara dalam usaha membaiki hubungan di antara kedua negara, Malaysia dan China. Daripada itu juga menjadi pemudah cara kepada hubungan ekonomi kepada langkah perdagangan antara kedua negara dan ia juga membantu dari aspek pelancongan yang sememangnya dititikberatkan oleh kedua negara," katanya.
Semalam, Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu turut menegaskan pengecualian visa berkenaan, tertakluk kepada tapisan keselamatan.
Jumaat lepas, Kementerian Luar China memaklumkan negara itu akan melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak, bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia dan lima negara Eropah iaitu Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.