fb fb fb fb fb

Pengecualian SST gula mentah, MSM hargai pendekatan pragmatik MOF

KUALA LUMPUR, 21 Jun – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) menyambut baik penjelasan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung mekanisme pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi import gula mentah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, pihaknya menghargai pendekatan pragmatik MOF dalam menangani isu tersebut.

"MSM menyifatkan penjelasan yang diberi sebagai langkah penting dalam membantu industri mengurus kos input serta menstabilkan harga gula bertapis.

"Pihak kami menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam memastikan rantaian bekalan gula negara kekal stabil, sambil meneruskan fokus terhadap kecekapan operasi dan penetapan harga yang adil," katanya.

MSM jelasnya, menghargai perhatian segera MOF terhadap perkara ini serta pengesahan mengenai laluan yang tersedia untuk pengeluar gula bertapis yang layak mendapatkan pengecualian.

"Ini amat penting memandangkan persekitaran operasi yang mencabar iaitu harga runcit gula kekal dikawal pada RM2.85 sekilogram sejak 2011 walaupun kos gula mentah global telah meningkat secara ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini," jelas beliau.

Terdahulu, MOF menjelaskan bahawa walaupun SST sebanyak lima peratus dikenakan ke atas gula mentah, namun pengilang gula bertapis boleh memohon pengecualian cukai tertakluk kepada syarat tertentu.

Penjelasan ini hadir susulan kebimbangan MSM berkenaan potensi peningkatan kos pengeluaran yang dibangkitkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan syarikat pada 19 Jun lepas," kata MSM menerusi satu kenyataan.

NORAINI BINTI WAHIB