fb fb fb fb fb

Pemangkin, sentimen yang bertambah baik jangka tingkatkan prestasi Bursa Malaysia

Dari perspektif teknikal, minggu yang baru berakhir ini menyaksikan indeks penanda aras ditutup lebih tinggi berbanding paras pembukaannya pada setiap hari dagangan / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Pemangkin dan keyakinan global yang bertambah baik dijangka membantu Bursa Malaysia kekal positif pada minggu depan, kata seorang peniaga.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata dari perspektif teknikal, minggu yang baru berakhir ini menyaksikan indeks penanda aras ditutup lebih tinggi berbanding paras pembukaannya pada setiap hari dagangan.

“Paras ketahanan seterusnya dikenal pasti pada 1,465, diikuti paras psikologi pada 1,500 dan sekiranya FBM KLCI melepasi paras rintangan pada 1,465, kami menjangkakan potensi peningkatan,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata, firma pembrokeran itu menjangkakan indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran 1,455 hingga 1,475 minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,450 diikuti 1,440.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rombakan Kabinet juga telah membantu meningkatkan sentimen kerana langkah itu mencerminkan keseriusan kerajaan untuk melakukan pembaharuan ekonomi.

“Ekuiti Malaysia meraih momentum susulan keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar faedah pada 5.50 peratus selain membayangkan mereka mungkin menurunkan kadar pada 2024.

“Susulan itu FBM KLCI naik lebih daripada 20 mata minggu ke minggu, dan potensi FBM KLCI untuk meningkat lebih tinggi pada 2024 adalah sangat cerah. Oleh itu kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran mengekalkan aliran meningkatnya pada minggu depan,” katanya.

Bursa Malaysia memulakan minggu yang baru berakhir ini dengan dagangan lebih berhati-hati ketika para pelabur menunggu keputusan mesyuarat FOMC pada 12-13 Dis, serta pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 20.28 mata untuk ditutup minggu ini pada 1,462.25 berbanding 1,441.97 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 205.20 mata kepada 10,835.88, Indeks FBMT 100 melonjak 201.97 mata kepada 10,502.27 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 238.83 mata kepada 10,969.75.

Indeks FBM 70 naik 517.15 mata kepada 14,474.12, manakala Indeks FBM ACE meningkat 74.25 mata kepada 5,180.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 103.2 mata kepada 16,436.96, Indeks Tenaga naik 20.06 mata kepada 816.29, Indeks Perladangan menokok 89.58 mata kepada 7,046.57 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.77 mata kepada 172.47.

Jumlah dagangan melonjak kepada 18.88 bilion unit bernilai RM13.44 bilion pada minggu ini daripada 15.50 bilion unit bernilai RM9.66 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 11.68 bilion saham bernilai RM11.87 bilion daripada 9.07 bilion saham bernilai RM8.30 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran naik kepada 4.02 bilion unit bernilai RM527.82 juta daripada 3.15 bilion unit bernilai RM324.92 juta.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 3.16 bilion saham bernilai RM1.03 bilion daripada 3.23 bilion saham bernilai RM1.03 bilion sebelumnya.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN