KUALA LUMPUR, 14 Jun – Semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan langkah kesinambungan konsolidasi fiskal kerajaan dalam usaha menampung keperluan pembangunan negara secara mampan pada masa hadapan.
Ahli Majlis Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Harvindar Singh berkata langkah tersebut dilihat tepat pada masanya, seiring dengan saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) kepada Malaysia menerusi laporan tinjauan ekonomi tahun lalu.
“OECD menyarankan agar Malaysia memperluaskan asas sistem percukaian bagi meningkatkan sumbangan cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang kini berada pada kadar sekitar 12 peratus – antara yang terendah di rantau ini,” katanya.
Tambah beliau, peluasan skop kutipan SST akan memberi kerajaan lebih banyak ruang fiskal untuk mengurus perbelanjaan negara secara berhemah, khususnya dalam bidang pembangunan produktiviti dan peningkatan kemahiran tenaga kerja, selari dengan fokus utama kerajaan ketika ini.
“Ini adalah langkah ke arah menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat secara melampau. Pendekatan bersasar yang diambil, termasuk mengecualikan barangan keperluan asas daripada dikenakan SST, adalah tindakan wajar,” jelasnya.
Menurut Harvindar, pelbagai kajian telah dilaksanakan kerajaan bagi meminimumkan kesan perluasan SST terhadap inflasi, termasuk memastikan barang keperluan dikenakan sifar cukai, seterusnya mengurangkan tekanan terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP).
Beliau turut menekankan kepentingan penerangan berterusan kepada orang ramai dan komuniti perniagaan agar pelaksanaannya tidak menimbulkan kekeliruan.
“Tahap pematuhan juga perlu dipertingkatkan, di samping langkah penguatkuasaan tegas bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya lagi.