fb fb fb fb fb

Peluasan infrastruktur pengecasan EV mampu rangsang permintaan

Peluasan infrastruktur pengecasan EV mampu rangsang permintaan / Foto Hiasan / Bernama

SELANGOR, 18 Julai – Peluasan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pelbagai lokasi komersial dijangka mampu merangsang permintaan terhadap pembelian EV di Malaysia.

Menurut Ketua Bahagian Automotif Sunway Marketing, Marcus Chye, pemasangan lebih banyak stesen pengecas EV di kawasan perbandaran dilihat mampu mengurangkan kebimbangan pengguna terhadap ketersediaan kemudahan pengecasan, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik.

“Pihak kami komited memastikan setiap pembangunan komersial dilengkapi dengan infrastruktur pengecasan. Contohnya, jika anda ke Sunway Pyramid atau mana-mana pusat beli-belah kami, anda pasti akan melihat kemudahan pengecas EV disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pra pelancaran bilik pameran utama dan pusat servis Zeekr Sunway, yang merupakan fasiliti pertama seumpamanya di Malaysia, di sini hari ini.

Jelas beliau, penggunaan aplikasi mudah alih seperti JomCharge juga wajar dimanfaatkan untuk memudahkan pengguna mencari lokasi pengecas EV terdekat, khususnya di kawasan bandar.

Pelancaran tersebut turut menandakan pembukaan dua titik sentuhan pelanggan menyeluruh bagi jenama Zeekr di Malaysia, iaitu Zeekr Space Sunway City dan Pusat Servis Zeekr Sunway.

Kedua-dua fasiliti itu dibangunkan dengan pelaburan melebihi RM10 juta, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh pengalaman pemilikan kenderaan Zeekr di Malaysia, merangkumi pelanggan baharu dan sedia ada.

Terdahulu, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025, selaras dengan matlamat mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau.

Dalam pada itu, di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021–2023, kerajaan menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif negara menjelang 2030.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN