fb fb fb fb fb

Pelantikan Datuk Seri Johari perkukuh kelangsungan agenda eksport negara

Pengalaman Datuk Seri Johari signifikan dalam merangka dasar berkaitan pelaburan, perdagangan, dan industri berkait rapat dasar fiskal, insentif percukaian dan aliran modal negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Disember - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis kepimpinan baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), terus memperkukuh agenda eksport negara seiring keutamaan pembangunan ekonomi Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keyakinan itu didorong pengalaman luas Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri baharu berkuat kuasa hari ini.

"Datuk Seri Johari mempunyai latar belakang profesional yang kukuh dalam bidang kewangan, perakaunan, pengauditan, dan hal-ehwal korporat.

''Ini merupakan kriteria penting dalam menyokong pembangunan ekonomi, khususnya dalam merangka dan melaksanakan dasar berkaitan pelaburan, perdagangan dan industri,” katanya.

Datuk Seri Johari sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Menteri Kewangan (2015-2016), Menteri Kewangan II (2016-2018) serta Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023.

Tambah Matrade, pengalaman itu amat signifikan dalam merangka dasar berkaitan pelaburan, perdagangan, dan industri yang berkait rapat dengan dasar fiskal, insentif percukaian dan aliran modal negara.

Di samping itu, penglibatan beliau sebagai Pengerusi dan Pengarah di beberapa syarikat utama termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia membuktikan keupayaan beliau membuat keputusan strategik serta memberikan pemahaman praktikal tentang rantaian bekalan global, cabaran pasaran antarabangsa, dan keperluan untuk meningkatkan daya saing eksport Malaysia.

MATRADE yakin momentum pencapaian MITI ketika di bawah kepimpinan bekas Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan terus dipacu di bawah kepimpinan baharu Datuk Seri Johari.

FAUZIAH ABD RAHMAN