KUALA LUMPUR, 17 Disember - Rombakan kabinet khususnya melibatkan empat portfolio utama yang menjadi tunjang hala tuju ekonomi Malaysia, membuka peluang penting memperkasa Ekonomi MADANI serta memperkukuh pelaksanaan dasar.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berpandangan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula 2026, menjadi penanda aras yang kritikal.
“Kejayaan RMK13 bakal menentukan sama ada Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya peralihan ke arah ekonomi kitaran, kelestarian, serta kedudukan negara sebagai hab rantaian bekalan serantau yang neutral dan berkesan.
"Tumpuan besar diperlukan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan industri baharu, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan menjana peluang bernilai tinggi kepada PKS serta rakyat, dan bukan sekadar bersaing dari segi angka pelaburan semata-mata," katanya.
Tambahnya, pada masa sama Malaysia perlu mempercepat pembaharuan struktur untuk meningkatkan produktiviti tenaga kerja, termasuk sokongan lebih agresif kepada automasi dan penerapan teknologi dalam kalangan PKS.
Selain, membendung kerenah birokrasi dan memastikan persekitaran perniagaan yang cekap dan mesra perniagaan terus menjadi teras dalam reka bentuk dan pelaksanaan dasar.
“Samenta akan terus menyokong kerajaan bagi memastikan Ekonomi MADANI dapat menghasilkan impak yang nyata dan mampan kepada perniagaan, pekerja dan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” jelasnya.