KUALA LUMPUR, 18 Disember - Pelancongan domestik mengekalkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 dengan merekodkan 72.6 juta pelawat, meningkat 9.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perbelanjaan pelancongan domestik turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan kepada RM29.8 bilion, meningkat 16.7 peratus tahun ke tahun.
Berbanding suku kedua 2025, jumlah pelawat domestik menurun sedikit sebanyak 1.6 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sehingga September, jumlah pelawat domestik mencecah 216 juta, meningkat 11.8 peratus.
Manakala perbelanjaan bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencapai RM88.4 bilion.
"Prestasi positif pelancongan domestik turut disokong peningkatan aktiviti berkaitan perjalanan termasuk jualan runcit bahan api automotif, peningkatan ketibaan lapangan terbang domestik serta subsektor penginapan yang mencatat kadar penghunian hotel yang lebih baik," katanya menerusi kenyataan.
DOSM menjelaskan, perkembangan tersebut mengukuhkan kedudukan pelancongan domestik sebagai salah satu tonggak utama ekonomi negara .
Ia dijangka terus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.