fb fb fb fb fb

Malaysia catat tahap optimisme tertinggi di ASEAN - IPSOS

Keyakinan rakyat Malaysia terhadap hala tuju negara terus mencatatkan peningkatan pada tahun 2025, mencerminkan sentimen positif yang semakin kukuh terhadap prestasi ekonomi/Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 18 Disember – Keyakinan rakyat Malaysia terhadap hala tuju negara terus mencatatkan peningkatan pada tahun 2025, mencerminkan sentimen positif yang semakin kukuh terhadap prestasi ekonomi dan pelaksanaan dasar kerajaan.

Menurut Ipsos Malaysia, melalui Pemantauan Kos Sara Hidup di Malaysia, tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia kini percaya negara berada di landasan yang betul, meningkat daripada 66 peratus pada tahun sebelumnya.

Statistik itu meletakkan Malaysia sebagai negara paling optimis dari segi ekonomi di Asia Tenggara.

"Peningkatan keyakinan itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, pengukuhan ringgit berbanding mata wang utama, serta pelaksanaan dasar ekonomi baharu yang memberi kesan positif kepada rakyat.

"Pada masa sama, kebimbangan terhadap rasuah, kemiskinan dan pengangguran turut menunjukkan penurunan, menandakan tahap kepercayaan awam yang lebih tinggi terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara," menurut Ipsos menerusi kenyataan.

Tahap optimisme itu turut diterjemahkan kepada prospek perbelanjaan isi rumah yang lebih memberangsangkan, melebihi purata global, disokong bantuan bersasar kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah, BUDI MADANI RON95 dan penyesuaian tarif elektrik.

Selari dengan perkembangan tersebut, rakyat Malaysia menjangkakan peningkatan taraf hidup pada tahun 2026, disokong pertumbuhan ekonomi, inflasi yang kekal rendah serta penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap pendapatan, perlindungan sosial dan pengurusan kos sara hidup.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN