fb fb fb fb fb

Industri budaya, kreatif sumbang RM130.7 bilion

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA, 18 Disember - Industri budaya dan kreatif terus memberi impak besar kepada ekonomi negara dengan menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 4.5 peratus pada 2023.

Pencapaian itu katanya, bukti perkembangan pesat sektor tersebut sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan berbanding beberapa negara lain.

“Malaysia kini berada di kedudukan membanggakan jika dibandingkan dengan negara lain. Australia, misalnya, hanya mencatat sumbangan sekitar 2.5 peratus, manakala Finland 3.2 peratus.

"Saya yakin angka-angka yang telah dinyatakan, sama ada yang dibentangkan sebelum ini mahupun yang digariskan dalam Blueprint Negara dan Rancangan Malaysia Ke-13, telah memberikan hala tuju yang jelas kepada pembangunan industri kreatif serta ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 di sini, hari ini.

Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 adalah terbitan pertama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang memaparkan statistik terperinci impak sektor budaya dan kreatif terhadap ekonomi.

Statistik tersebut menganggarkan sumbangan industri budaya dan kreatif kepada KDNK, eksport, import serta guna tenaga dalam industri berkenaan. 

KHAIRUL AMRI BIN YASIN