fb fb fb fb fb

Pasaran getah tempatan ditutup tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Januari- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, menjejaki peningkatan di pasaran niaga hadapan getah serantau dalam keadaan kemerosotan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Peniaga berkata sentimen positif turut disokong oleh kenaikan harga minyak mentah.

“Bagaimanapun, peningkatan seterusnya dikekang oleh jangkaan pengurangan kadar faedah awal dan mendadak pada tahun ini menjelang pengeluaran data senarai gaji bukan perladangan AS yang dipantau rapi, lewat hari ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga, niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Jumaat, disokong oleh data yang memperlihatkan permintaan kereta yang kukuh, manakala ribut petir di negara pembekal utama, Thailand menimbulkan kebimbangan dari segi bekalan.

Harga minyak meningkat pada Jumaat memandangkan tumpuan kekal terarah kepada gangguan bekalan di Timur Tengah.

Beliau berkata minit mesyuarat daripada Rizab Persekutuan AS memberikan gambaran bahawa inflasi dalam keadaan terkawal, manakala Setiausaha Negara AS Antony Blinken yang bersedia melawat Timur Tengah bagi membendung peningkatan konflik, meningkatkan lagi harga minyak.

Berbanding sesi penutup dagangan sebelum ini, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM 20) meningkat 4.5 sen kepada 706.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal menokok 1.5 sen kepada 553.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal GMM 20 berada pada 705.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 554.5 sen sekilogram.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN