fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong momentum belian kukuh

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Januari- Bursa Malaysia meneruskan trajektori meningkatnya hari ini untuk ditutup pada paras tertingginya dalam tempoh hampir setahun berikutan aktiviti belian kukuh dalam saham wajaran tinggi diterajui YTL Corporation dan YTL Power International, kata seorang penganalisis.

Indeks utama serantau juga ditutup tinggi disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah susulan jualan baru-baru ini dengan tumpuan kepada saham kewangan.

Pada pukul 5.00 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 0.70 peratus atau 10.35 mata untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya pada 1,487.61 daripada paras penutup 1,477.26 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.37 mata kepada 1,476.89 dan mencecah paras terendah pada 1,476.85 dalam sesi dagangan awal pagi sebelum melonjak semula sepanjang sesi dagangan seterusnya hari ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 745 berbanding 351, manakala 417 kaunter tidak berubah, 707 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan hari ini mencecah satu lagi paras tertinggi baharunya dalam tempoh setahun kepada 6.62 bilion unit bernilai RM3.72 bilion berbanding 6.37 bilion unit bernilai RM3.82 bilion pada Khamis.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng memberi tahu Bernama pada masa yang sama petunjuk kukuh daripada data pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan semalam turut mempengaruhi landskap jangkaan penurunan kadar faedah.

Para pelabur mengunjurkan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini seperti yang dibayangkan oleh bank pusat itu.

“Di bursa tempatan, keyakinan masih berterusan mendapat rangsangan daripada petunjuk pasaran yang positif dan kami berharap indeks petunjuk pasaran itu kekal di atas paras 1,465 bagi tempoh yang lebih lama, setelah bergelut untuk mengekalkannya beberapa kali tahun lepas,” kata Thong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Corporation meningkat 17 sen kepada RM2.22, YTL Power International naik 22 sen kepada RM3.22, Celcomdigi dan Axiata kedua-duanya menokok 7.0 sen masing-masing kepada RM4.21 dan RM2.56, Public Bank menambah 4.0 sen kepada RM4.33, manakala CIMB dan MRDIY naik 5.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM6.00 dan RM1.49.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hong Seng Consolidated dan Minetech naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 3.0 sen dan 21.5 sen, Sapura Energy jatuh setengah sen kepada 5.0 sen, Luster meningkat 2.0 sen kepada 8.5 sen dan Sarawak Cable menokok 4.0 sen kepada 42.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 50.38 mata kepada 5,438.27, Indeks FBM Emas naik 93.08 mata kepada 11,097.22 dan Indeks FBMT 100 menokok 89.20 mata kepada 10,744.37.

Indeks FBM 70 melonjak 183.96 mata kepada 15,059.87 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 64.44 mata kepada 11,232.14.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 10.39 mata kepada 925.76, Indeks Tenaga naik 5.33 mata kepada 839.82 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.11 mata kepada 176.99.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 117.13 mata kepada 16,582.33 manakala Indeks Perladangan susut 6.65 mata kepada 7,030.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.52 bilion unit bernilai RM3.30 bilion daripada 4.44 bilion unit bernilai RM3.43 billon pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 714.25 juta unit bernilai RM88.62 juta daripada 770.91 juta unit bernilai RM92.22 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.36 bilion saham bernilai RM341.15 juta daripada 1.12 bilion saham bernilai RM297.69 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 483.33 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.46 bilion); pembinaan (267.15 juta); teknologi (683.34 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (83.64 juta); hartanah (407.28 juta); perladangan (19.85 juta); REITs (11.84 juta), dana tertutup (6,900); tenaga (418.48 juta); penjagaan kesihatan (281.24 juta); telekomunikasi dan media (59.44 juta); pengangkutan dan logistik (129.68 juta); dan utiliti (206.74 juta). -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA