fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup tinggi

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri penurunan dua hari berturut-turut dengan ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kebimbangan bekalan yang terhad disebabkan ramalan cuaca di Thailand dan aliran meningkat di pasaran niaga hadapan getah serantau.

Seorang peniaga berkata sentimen turut meningkat, didorong oleh harga minyak mentah yang tinggi, ringgit yang menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dan keputusan China untuk menurunkan kadar utama pinjaman penanda arasnya.

"Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran bahawa akan berlaku ribut petir, hujan lebat terpencil, banjir kilat dan limpahan air di beberapa wilayah di utara, timur laut dan selatan negara itu sehingga 27 Julai," katanya.

Beliau berkata Bank Rakyat China pula tanpa dijangka terus menurunkan kadar utama pinjaman penanda arasnya ke paras terendah pada Isnin berikutan tanda-tanda pemulihan ekonomi yang perlahan memerlukan lebih banyak rangsangan.

Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh isyarat bercampur-campur daripada Rizab Persekutuan AS berhubung penurunan kadar faedah ditambah dengan krisis Timur Tengah yang berterusan,” katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat tujuh sen kepada 785 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 616.5 sen sekilogram.

Pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM bagi fizikal SMR 20 berada pada 777 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 616 sen sekilogram.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM