fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini susulan sentimen positif daripada kenaikan harga minyak mentah, demikian menurut seorang peniaga.

Beliau berkata harga minyak meningkat pada Selasa apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta data inflasi yang akan dikeluarkan lewat hari ini.

“Bagaimanapun, kebimbangan terhadap lebihan bekalan dan pertumbuhan permintaan yang perlahan telah mengehadkan kenaikan.

"Sementara itu, pelabur minyak masih ragu-ragu sama ada jumlah bekalan akan berkurangan meskipun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+) berjanji untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari bagi suku pertama 2024, memandangkan jangkaan pertumbuhan output di negara-negara bukan OPEC akan membawa kepada lebihan bekalan tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Hari ini, penanda aras global minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.17 peratus kepada US$76.16 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat sebanyak setengah sen sekilogram (kg) kepada 665.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal tidak berubah pada 539.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi SMR 20 fizikal berada pada 668.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 540.0 sen sekilogram.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN