KUALA LUMPUR, 27 September- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini, sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen itu didorong oleh penurunan harga minyak mentah dan ringgit yang kukuh berbanding dolar AS.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh data ekonomi Amerika Syarikat yang terkini, kebimbangan mengenai pertumbuhan berikutan gangguan bekalan disebabkan cuaca buruk di Thailand dan pengumuman China mengenai langkah-langkah rangsangan terbaharu untuk menyokong ekonominya,” katanya kepada Bernama.
Katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Jumaat berikutan yen rendah dan pelbagai dasar ekonomi China yang meningkatkan sentimen.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot 4.5 sen kepada 848.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 1.5 sen kepada 708 sen sekilogram.
Pada pukul 5.00 petang, SMR 20 sebanyak 843.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 710 sen sekilogram.- BERNAMA