KUALA LUMPUR, 8 Januari- Syarikat perkhidmatan industri, Swift Energy Technology Bhd mencatatkan penampilan sulung yang cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan lonjakan saham sebanyak 28.57 peratus.
Saham syarikat itu dibuka pada harga 36 sen sesaham, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 28 sen, dengan sejumlah 33.58 juta saham didagangkan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Bin Chee berkata, syarikat itu berhasrat mengukuhkan kehadirannya di rantau ASEAN menerusi penyenaraian tersebut.
“Tumpuan segera kami adalah pada rancangan pengembangan syarikat. Pertama, kami telah menyediakan tapak untuk pembesaran, dengan perbincangan hampir dimuktamadkan sebelum pembinaan dimulakan,” katanya.
Mengulas lanjut tentang rancangan syarikat itu untuk meneroka pasaran Indonesia dengan menubuhkan anak syarikat dan pejabat di Jakarta, ia dijangka siap selepas Tahun Baru Cina.
“Kami menjangkakan selepas Tahun Baru Cina, kami akan memulakan unit operasi korporat kami di Indonesia. Anak syarikat Swift Energy ini akan bertanggungjawab mengembangkan lagi operasi kami di rantau ASEAN. Pada masa sama, kami akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan penawaran produk serta memperkenalkan inovasi baharu,” tambah Bin Chee.
Selain itu, Swift Energy berjaya memperoleh RM70.06 juta hasil IPO, yang akan digunakan untuk pengembangan operasi.
Peruntukan itu termasuk pembinaan kemudahan fabrikasi, penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan, serta modal kerja.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyenaraian di Bursa Malaysia.