fb fb fb fb fb

Organisasi APAC kurang konsisten laksana penilaian keselamatan siber – Kaspersky

Hanya 26.7 peratus organisasi di Asia Pasifik (APAC) menjalankan penilaian keselamatan siber secara bulanan / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Hanya 26.7 peratus organisasi di Asia Pasifik (APAC) menjalankan penilaian keselamatan siber secara bulanan, manakala 42.7 peratus lagi hanya melaksanakannya setiap beberapa bulan, menurut kajian oleh Kaspersky bersama VDC Research.

Kajian bertajuk “Melindungi Teknologi Operasi dengan Penyelesaian Khusus” itu mendedahkan amalan tidak konsisten dalam pelaksanaan penilaian kerentanan dan ujian pencerobohan, sekali gus meningkatkan risiko terhadap ancaman siber yang boleh menyebabkan gangguan operasi, kerugian pengeluaran dan kerosakan reputasi organisasi.

Lebih membimbangkan, 20 peratus responden hanya menjalankan penilaian sekali atau dua kali setahun, manakala 10.7 peratus pula melaksanakannya hanya apabila perlu.

Pengarah Urusan APAC Kaspersky, Adrian Hia berkata situasi tersebut membuktikan perlunya pendekatan keselamatan yang lebih menyeluruh, terutamanya dalam persekitaran perindustrian moden yang semakin bergantung kepada integrasi sistem teknologi.

“Sistem keselamatan siber yang kukuh bukan sahaja penting untuk melindungi operasi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya saing organisasi dalam ekonomi digital masa kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketidakselarasan kekerapan penilaian dan kelewatan pengurusan tampalan sistem dikenal pasti sebagai antara cabaran utama dalam memastikan kesiapsiagaan keselamatan siber, khususnya dalam persekitaran teknologi operasi yang semakin kompleks.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN