KUALA LUMPUR, 5 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.00 peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang dijadual berlangsung pada 9 Julai ini.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, unjuran tersebut disokong oleh beberapa faktor luaran termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat serta dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) yang masih berada pada paras tinggi.
"Faktor luaran seperti konflik geopolitik antara Israel dan Iran boleh menyebabkan kenaikan harga komoditi global. Pada masa sama, ketidaktentuan tarif perdagangan Amerika Syarikat dan dasar monetari Fed yang mengekalkan kadar faedah antara 4.25 hingga 4.50 peratus turut memberi tekanan kepada Malaysia sekiranya OPR diturunkan.
Di peringkat domestik, kadar inflasi yang kekal rendah pada 1.2 peratus menunjukkan ekonomi negara masih stabil namun penurunan kadar faedah secara terlalu awal berisiko meningkatkan tekanan inflasi," katanya ketika dihubungi RTM.
Jelas beliau, penurunan kadar OPR selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh dianggap sebagai langkah pelonggaran dasar pramatang.
Menurutnya, pengekalan kadar OPR pada paras semasa mampu membantu menstabilkan kuasa beli rakyat serta memudahkan perancangan kewangan jangka pendek tanpa dibebani risiko kenaikan harga atau lonjakan kos pinjaman secara mendadak.
Mengulas lanjut mengenai sentimen pelabur asing, Mohd Sedek berkata keyakinan terhadap ekonomi Malaysia semakin pulih, susulan aktiviti belian bersih yang ditunjukkan selama lima hari berturut-turut.
Pemulihan ini turut didorong oleh prestasi kukuh ekonomi dalam negara, termasuk kadar pengangguran yang rendah, peningkatan jualan runcit serta kadar penyewaan ruang niaga dan kedai yang semakin memberangsangkan.
Beliau menambah, langkah kerajaan mengurangkan defisit fiskal serta dasar monetari yang konsisten turut menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur asing ke pasaran tempatan.