fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 12 Mei- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini di tengah-tengah jangkaan pengeluaran meningkat tetapi masih kurang daripada yang dijangkakan, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran menjangkakan peningkatan dua angka dalam pengeluaran tetapi tinjauan awal menunjukkan pertumbuhan satu angka.

Beliau berkata UOB Kay Hian menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia untuk tempoh 1-20 Mei meningkat di antara tujuh peratus dan 11 peratus.

“Pasaran kini menunggu anggaran pengeluaran minyak sawit 1-20 Mei daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang dijangka dikeluarkan esok,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ng berkata pemulihan dalam niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago dan niaga hadapan Bursa Komoditi Dalian turut menaikkan sentimen dalam pasaran.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,850 satu tan dan paras rintangan pada RM4,000 satu tan," katanya.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata, niaga hadapan MSM bermula dengan positif dan bergerak lebih tinggi menjelang tengah hari.

“Terdapat sedikit berita positif baharu untuk mengekalkan momentum belian dan menaikkan harga melebihi satu peratus. Niaga hadapan sawit ditutup tinggi tanpa mengikut niaga hadapan minyak kacang soya dan olein sawit yang lebih rendah di niaga hadapan Bursa Komoditi Dalian.

"Ringgit yang lebih lemah mungkin menawarkan sedikit sokongan untuk niaga hadapan yang lebih tinggi hari ini," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2024 meningkat RM17 kepada RM3,853 satu tan, Julai 2024 menambah RM21 kepada RM3,885 satu tan, Ogos 2024 naik RM26 kepada RM3,894 satu tan, September 2024 meningkat RM24 kepada RM3, 899 satu tan, Oktober 2024 melonjak RM22 kepada RM3,906 satu tan dan November 2024 naik RM25 kepada RM3,921 satu tan.

Jumlah dagangan bagaimanapun merosot kepada 64,859 lot daripada 74,486 pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 202,777 kontrak daripada 201,632 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan meningkat RM50 kepada RM3,950 satu tan.- BERNAMA

aidan