KUALA LUMPUR, 20 November - Sime Darby Property Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 31.2 peratus kepada RM168.23 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, berbanding RM128.26 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmir Merican berkata prestasi kukuh itu dipacu oleh strategi campuran produk yang lebih seimbang serta permintaan pasaran yang terus berdaya tahan.
Datuk Seri Azmir Merican/Foto Sime Darby Property
"Pendapatan kami mencecah RM3.1 bilion, manakala keuntungan kasar berada pada paras hampir RM1 bilion. Keuntungan sebelum cukai (PBT) direkodkan pada RM659 juta, dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM430 juta.
"Ini merupakan PBT tertinggi pernah dicapai oleh Sime Darby Property Berhad. Dari segi kedudukan kewangan, syarikat juga berada dalam keadaan kukuh dengan nisbah hutang bersih sekitar 34 peratus." katanya dalam taklimat media secara maya susulan pengumuman keputusan kewangan suku ketiga.
Segmen pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang terbesar, dengan hasil RM2.9 bilion dan PBT RM624.2 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Syarikat itu turut merekodkan jualan sembilan bulan tertinggi sebanyak RM3.4 bilion, meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun.
Pencapaian tersebut mewakili 93 peratus daripada sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM3.6 bilion, menandakan keyakinan pasaran yang berterusan terhadap penawaran Sime Darby Property.
Mengulas prospek tahun kewangan 2025, Azmir berkata syarikat kekal komited mencapai sasarannya, dipacu permintaan stabil merentasi segmen utama, disiplin dalam pengurusan kos serta sumbangan berterusan daripada portfolio industri dan pendapatan berulang.
“Kedudukan kewangan yang kukuh serta hala tuju strategik membolehkan kami terus memberikan nilai kepada pihak berkepentingan, sekali gus memperkukuh keyakinan kami melaksanakan strategi jangka panjang,” jelasnya.