fb fb fb fb fb

Harga MSM dijangka cecah RM4,200 menjelang Disember 2025

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 20 November – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengukuh kepada sekitar RM4,200 satu tan menjelang Disember 2025, menurut unjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC berkata harga berpotensi meningkat lebih tinggi sehingga RM4,500 satu tan, didorong permintaan import yang stabil menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan, selain ketidakpastian dasar di Indonesia.

“Berdasarkan laporan pasaran, kerajaan Indonesia dijangka menyelaraskan duti eksport bagi memastikan bekalan bahan mentah domestik mencukupi. Tarikh pelaksanaan peralihan kepada mandat biodiesel yang lebih tinggi, sama ada B45 atau B50, kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi jumlah bekalan untuk dieksport pada 2026,” jelas MPOC dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pengeluaran minyak sawit Malaysia melonjak 11 peratus kepada 203,000 tan pada Oktober, paras bulanan tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Pengeluaran kukuh pada Oktober antaranya didorong kelewatan musim monsun dan pembajaan yang lebih baik,” menurut MPOC.

Eksport MSM pada Oktober turut mencatat peningkatan 18.6 peratus kepada 1.69 juta tan, dipacu permintaan lebih tinggi dari negara Sub-Sahara Afrika. Eksport ke China juga bertambah ke paras tertinggi lima bulan iaitu 110,000 tan.

Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.46 juta tan pada Oktober, paras tertinggi sejak April 2019, walaupun pertumbuhan eksport mengatasi pengeluaran.

“Kenaikan stok itu bukan sahaja dipacu oleh dinamik pengeluaran atau eksport, malah disumbangkan oleh penggunaan domestik yang lebih rendah,” katanya.

Di peringkat global, paras stok yang terus meningkat memberi tekanan kepada harga minyak sawit, yang susut 4 peratus pada November. Sementara itu, harga minyak bunga matahari, soya dan biji sesawi kekal stabil, melebarkan jurang harga antara minyak sawit dan minyak campuran lain.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN