KUALA LUMPUR, 11 Julai- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, disokong oleh prestasi eksport yang kukuh.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata minyak sawit Malaysia terus menerima permintaan yang baik daripada pengimport utama.
Beliau berkata harga minyak sawit yang lebih kukuh di Bursa Komoditi Dalian China turut meningkatkan sentimen pasaran.
“China ialah pembeli utama minyak sawit, jadi apabila harga di negara itu meningkat, ia menandakan permintaan kukuh yang membantu menyokong harga di Malaysia.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,100 setan dan paras rintangan pada RM4,250,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan dibuka lebih tinggi secara mendadak pada awal dagangan, dengan dagangan kontrak September paling aktif antara RM4,125 dan RM4,235 setan, menguji paras tertinggi dalam tiga bulan.
“Niaga hadapan berkurang menjelang tengah hari apabila peniaga mengambil untung menjelang hujung minggu, mengaut untung pada aliran meningkat pada awal pagi,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak semerta bulan Julai meningkat RM31 kepada RM4,070 setan, Ogos 2025 menokok RM26 kepada RM4,144 setan, dan September 2025 menambah RM28 kepada RM4,174 setan.
Oktober 2025 menaik RM30 kepada RM4,177 setan, November 2025 melonjak RM32 kepada RM4,174 setan dan Disember 2025 meningkat RM28 kepada RM4,175 setan.
Jumlah dagangan merosot kepada 87,673 lot daripada 100,487 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 231,427 kontrak daripada 226,285 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan menokok RM10 kepada RM4,160 setan.- BERNAMA