KUALA LUMPUR, 12 Julai – Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi lebih tinggi, meskipun dolar Amerika Syarikat (AS) mencatatkan pengukuhan.
Kenaikan tersebut didorong oleh kebimbangan geopolitik global yang mencetuskan lonjakan permintaan terhadap aset selamat seperti emas.
Menurut penganalisis pasaran, peningkatan harga emas minggu ini lebih dipengaruhi oleh faktor geopolitik yang memuncak berbanding pemacu makroekonomi tradisional.
Antara pemangkin utama ialah pengumuman pusingan tarif baharu oleh Amerika Syarikat ke atas Kanada, serta spekulasi bahawa Kesatuan Eropah (EU) turut berisiko menjadi sasaran seterusnya dalam dasar perdagangan AS.
Perkembangan itu telah mengembalikan minat pelabur terhadap aset lindung nilai, menjadikan emas kembali memainkan peranan sebagai pelindung terhadap ketidakpastian dasar global dan risiko geopolitik.
Pada masa sama, pelabur kini dilihat tidak lagi hanya tertumpu kepada prospek kadar faedah, sebaliknya lebih memberi tumpuan terhadap persekitaran global yang tidak menentu, sekali gus meningkatkan daya tarikan logam berharga itu.