fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan tinggi minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan sentimen pasaran semakin bertambah baik seiring dengan perkembangan luaran serta prestasi COMEX di Amerika Syarikat (AS).

Seorang peniaga berkata selepas ditutup pada paras tertinggi baharu pada AS$2,235.0 setiap auns troy pada Jumaat, harga emas dijangka terus meningkat minggu depan.

“Bagaimanapun, data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS, yang akan diumumkan dijangka mempengaruhi hala tuju harga pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, niaga hadapan emas domestik diniagakan kebanyakannya tinggi.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas di pasaran tempatan susut kepada 55 lot daripada 121 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 31 kontrak daripada 58 kontrak pada minggu sebelumnya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2024 meningkat kepada AS$2,258.30 setiap auns troy daripada AS$2,181.20 setiap auns troy.

Kontrak Mei 2024, Jun 2024, Ogos 2024, Oktober 2024 dan Disember 2024 semuanya ditutup kukuh kepada AS$2,259.0 setiap auns troy berbanding AS$2,181.20 setiap auns troy sebelumnya.

Menurut London Bullion Market Association pada 28 Mac harga emas fizikal berada pada AS$2,214.35 setiap auns troy. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA