fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan dalam jajaran kecil,cenderung meningkat minggu depan

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Kontrak niaga hadapan emas dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat minggu depan, menjejaki prestasi di Bursa Komoditi New York (Comex) Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas perlu kekal disokong oleh prospek pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed), risiko geopolitik yang meningkat dan permintaan terhadap emas fizikal pada cuti Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, bagi mengekalkan momentum semasa harga emas, penyusutan selanjutnya dalam hasil Perbendaharaan AS atau peningkatan permintaan pelaburan terutamanya dalam bentuk pembelian berterusan dana dagangan bursa (ETF), adalah perlu.

“Bagaimanapun, wajar ditekankan bahawa pasaran pada masa ini lebih baik menyesuaikan jangkaan pengurangan kadarnya lebih dekat dengan Fed. Ini menunjukkan bahawa harga emas mungkin berdepan masalah untuk mencapai paras tertinggi terkini melainkan risiko kemelesetan AS meningkat dan meskipun konflik di Timur Tengah.

“Sehubungan itu, saya berharap kepada lebih banyak julat dagangan, tetapi pengeluaran Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Selasa perlu dianggap berisiko tinggi meskipun terhadap emas. Jika inflasi terus meningkat, ia boleh melambatkan lagi pengurangan kadar oleh Fed dan memberikan kesan kepada emas,” katanya kepada Bernama.

Innes menjangkakan emas diniagakan dalam julat US$2,015 hingga US$2,065 setiap auns.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan susut kepada 85 lot daripada 119 lot yang didagangkan minggu lepas.

Kepentingan terbuka merosot kepada 84 kontrak daripada 87 kontrak minggu lepas.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semasa Februari 2024 berkurangan kepada US$2,039.80 setiap auns troy daripada US$2,064.20 minggu lepas, manakala Mac 2024 susut kepada US$2,049.70 setiap auns troy daripada US$2,074.10 sebelum ini.

Kontrak bagi April 2024, Mei 2024 dan Jun 2024 masing-masing ditutup rendah pada US$2,057.70 setiap auns troy daripada US$2,082.50 minggu lepas.

Harga emas fizikal berada pada US$2,028.65 setiap auns troy, menurut penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 8 Feb 2024.
- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI