fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka catat dagangan berhati-hati minggu depan

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan, menjejaki perkembangan luaran dan prestasi COMEX Amerika Syarikat (AS) / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Februari - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan, menjejaki perkembangan luaran dan prestasi COMEX Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes menjangka emas akan diniagakan pada paras AS$2,000 setiap auns troy (AS$1=RM4.77).

“Rizab Persekutuan AS berhati-hati mengenai prospek inflasi, yang mungkin menjejaskan harga emas.

“Selain itu, data ekonomi AS yang akan dikeluarkan, terutamanya laporan Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), boleh mempengaruhi sentimen pasaran dan menolak jangkaan penurunan kadar, yang berpotensi memberi impak negatif kepada harga emas,” katanya kepada Bernama.

Innes juga berkata rundingan damai Timur Tengah yang sedang dijalankan boleh menyumbang kepada permintaan yang rendah terhadap emas berikutan pelabur mungkin menganggap risiko geopolitik yang berkurangan.

“Bagaimanapun tanpa permintaan dana dagangan bursa yang kukuh, kami turut berpendapat emas akan bergelut untuk bergerak melebihi AS$2,050 setiap auns troy dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

“Ekonomi AS secara mengejutkan adalah berdaya tahan dan menyokong dolar AS, yang turut negatif untuk emas,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan emas diniagakan kebanyakannya tinggi, menjejaki prestasi niaga hadapan emas COMEX AS yang positif.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan merosot kepada 89 lot daripada 120 lot diniagakan pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 71 kontrak daripada 133 kontrak minggu lepas.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, Mac 2024 naik kepada AS$2,027.10 setiap auns troy daripada AS$2,017.10 setiap auns troy sebelum ini dan April 2024 meningkat kepada AS$2,038.10 setiap auns troy daripada AS$2,028.40 setiap auns troy sebelum ini.

Kontrak bagi Mei 2024 dan Jun 2024, masing-masing naik kepada AS$2,038.10 setiap auns troy daripada AS$2,028.40 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Kontrak bulan semerta baharu Ogos 2024 sebanyak AS$2,038.10 setiap auns troy.

Harga emas fizikal sebanyak AS$2,024.00 setiap auns troy, menurut London Bullion Market Association pada 22 Feb.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN