fb fb fb fb fb

Malaysia tegas lindungi kepentingan negara dalam rundingan dengan Amerika Syarikat

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia berpegang teguh kepada prinsip rundingan yang jelas dalam membentuk sebarang perjanjian dengan Amerika Syarikat bagi memastikan kepentingan jangka panjang negara terus dilindungi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjanjian yang tidak kukuh boleh memberi kesan buruk kepada industri dan ekonomi negara dalam tempoh jangka panjang.

"Tajuk berita yang menarik dibaca mungkin bertahan beberapa minggu, sebulan paling lama tetapi perjanjian yang lemah akan membawa akibat jangka panjang kepada rakyat, industri termasuk sektor kesihatan serta ekonomi negara.

Saya yakin kesan jangka panjang yang negatif bukanlah sesuatu yang diingini rakyat, mahupun pembayar cukai pada masa kini dan akan datang,” katanya ketika memberi ucapan pembukaan pada Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025 (IHW) di ibu negara, hari ini.

1607 BIZ ZAFRUL PRINSIP JELAS 1Tengku Zafrul ketika memberi ucapan pembukaan pada IHW 2025 di ibu negara.

Katanya lagi, pendekatan rundingan Malaysia perlu berasaskan prinsip yang menyokong usaha reformasi ekonomi dan dasar pertumbuhan mampan negara.

Beliau menegaskan, Putrajaya tidak akan menggadaikan kedaulatan negara atau kepentingan rakan dagang lain semata-mata untuk menandatangani perjanjian dengan Washington.

Tambah beliau, rundingan perdagangan dalam tempoh hanya 90 hari adalah satu proses yang rumit kerana ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau menjelaskan, kementerian dan agensi berkaitan perlu dirujuk terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaan perjanjian berjalan dengan lancar.

"Tempoh purata bagi satu rundingan perdagangan, biasanya mengambil masa sekitar 18 bulan. Rekod paling pantas yang dicapai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) setakat ini ialah 11 bulan," jelasnya, merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang baru sahaja dimeterai.

Malaysia kini berdepan kadar tarif sebanyak 25 peratus bagi semua eksport ke AS dan mempunyai tempoh sehingga 1 Ogos untuk memuktamadkan rundingan.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE