fb fb fb fb fb

Rundingan tarif perlu beri manfaat kedua-dua negara

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Rundingan berhubung pelarasan tarif perlu dikaji secara teliti dan realistik, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Tengku Zafrul, terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dikompromi, khususnya melibatkan kedaulatan negara dan industri strategik.

"Jika kita bersetuju dengan Amerika Syarikat dalam mana-mana perkara, kita juga perlu memastikan layanan yang sama diberikan kepada negara-negara lain termasuk negara ASEAN, Eropah, China dan sebagainya.

"Jadi, kita perlu menilai semua ini secara menyeluruh dari pelbagai aspek" katanya selepas merasmikan Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Tambah beliau, rundingan tarif itu perlu membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, mengulas mengenai penurunan tarif import barangan Indonesia kepada 19 peratus, beliau berkata pihaknya masih belum menerima maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Donald Trump mengumumkan Jakarta dikenakan kadar tarif sebanyak 32 peratus bagi barangan Indonesia yang memasuki AS.

"Kita tunggu pengumuman rasmi daripada pihak Indonesia. Kita sudah dengar kenyataan yang dibuat oleh Donald Trump, tetapi saya tidak mempunyai maklumat lanjut setakat ini.

"Apa yang kita tahu hanyalah melalui pengumuman oleh Presiden AS. Kita masih menunggu kenyataan selanjutnya daripada pihak Indonesia," katanya lagi.

Katanya, kerajaan masih meneruskan rundingan dengan AS untuk menurunkan kadar tarif timbal balas sebelum tarikh akhir pada 1 Ogos depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN