fb fb fb fb fb

Malaysia seru ASEAN perkukuh integrasi ekonomi serantau, JS-SEZ sebagai contoh

Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hasan, ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

KUALA LUMPUR , 7 Julai -Malaysia menyarankan agar negara-negara ASEAN memperkukuh integrasi ekonomi serantau dengan mencontohi kejayaan kerjasama ekonomi dua hala, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang terbukti mampu memacu hubungan dagang dan pemahaman strategik antara negara anggota.

Menurut Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hasan, Perdana Menteri Malaysia turut menggariskan bahawa blok ekonomi seperti BRICS wajar meneladani pendekatan ASEAN dalam menjalin hubungan ekonomi berteraskan persefahaman dan kesalinghubungan yang pragmatik.

"Secara realitinya, masih banyak perlu dilakukan dalam kalangan negara ASEAN sendiri. Walaupun kita tidak menghadapi masalah berurusan dengan kuasa ekonomi luar seperti China, hubungan ekonomi sesama negara anggota masih terhalang oleh sikap proteksionisme," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Beliau turut menjelaskan bahawa sikap mempertahankan industri domestik secara keterlaluan telah menjadi penghalang utama kepada integrasi ekonomi sebenar dalam ASEAN. Sebagai contoh terbaik, beliau menyebut hubungan antara Malaysia dan Singapura yang kini menjadi antara rakan dagang utama.

"Malaysia-Singapura kini rakan dagang ketiga atau keempat terbesar. Kejayaan ini lahir daripada kepercayaan, kefahaman dan kemudahan urusan yang terjalin antara pemimpin kedua-dua negara. Inisiatif seperti (JS-SEZ) adalah bukti nyata bagaimana kesalingfahaman boleh mendahului kepentingan sempit industri,” ujar beliau.

Tambah beliau, kejayaan Malaysia dan Singapura ini harus dijadikan model rujukan oleh negara ASEAN lain bagi membina kepercayaan ekonomi bersama dan mengurangkan halangan perdagangan rentas sempadan.

Dalam konteks peranan Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN kali ini, beliau menegaskan bahawa selain aspek ekonomi, isu geopolitik juga perlu diberi penekanan khusus.

Antara isu utama yang perlu diketengahkan termasuk pertikaian di Laut China Selatan, konflik yang masih berpanjangan di Myanmar, serta ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand.

"Sebagai pengerusi, saya yakin Menteri Luar Malaysia akan menggunakan platform ini untuk membina persefahaman dan tindakan kolektif ASEAN terhadap isu-isu serantau yang belum selesai," tambahnya.

Beliau turut menjangkakan bahawa Malaysia akan membawa suara ASEAN terhadap konflik global yang memberi kesan langsung kepada rantau ini.

Antaranya termasuklah krisis antara India dan Pakistan, ketegangan Israel-Iran, peperangan di Gaza serta konflik Rusia-Ukraine.

Walaupun isu-isu ini kelihatan jauh dari Asia Tenggara, kesannya sangat dekat dari segi ekonomi, pelarian dan kestabilan keselamatan serantau. Maka, Malaysia berperanan penting membawa suara ASEAN dalam kerangka antarabangsa yang lebih luas.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN itu dilihat sebagai medan utama untuk merangka strategi ekonomi dan diplomasi rantau ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

Peranan Malaysia sebagai peneraju dan perantara dijangka akan memberi impak besar dalam memastikan ASEAN kekal relevan dan bersatu dalam mendepani cabaran masa hadapan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI