KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia merekodkan potensi perdagangan melebihi RM120 juta pada penyertaan sulung dalam Pameran Import Korea (KIF) 2025, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh eksport negara ke rantau Asia Timur.
Acara yang berlangsung dari 7 hingga 9 Julai 2025 di Seoul itu menyaksikan Pavilion Malaysia yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjadi pavilion kebangsaan terbesar pada edisi tahun ini.
Pavilion tersebut menggabungkan 12 syarikat Malaysia dan sebuah agensi kerajaan, mengatasi negara ASEAN lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam daripada segi saiz dan impak.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata penyertaan dalam KIF 2025 merupakan sebahagian daripada strategi MATRADE untuk membuka peluang eksport melalui pendekatan promosi antarabangsa yang disasarkan.
“Keputusan yang dicapai bukan sahaja mengatasi sasaran awal RM60 juta, malah membuktikan keberkesanan kerjasama strategik dan usaha promosi berfokus dalam memperkukuh keterlihatan produk Malaysia di pasaran global,” katanya.
Antara produk Malaysia yang mendapat sambutan tinggi daripada pembeli Korea ialah barang kemas seperti rantai dan gelang, kasut, perkhidmatan ICT, pakaian, buah-buahan tropika, serta makanan dan minuman.
Sepanjang penganjuran KIF 2025, MATRADE turut melaksanakan pelbagai inisiatif promosi seperti sesi padanan perniagaan bersama pengimport Korea, kempen digital dan media sosial, penstriman langsung bersama tokoh media sosial tempatan, serta sesi libat urus bersama pihak media Korea.