KUALA LUMPUR, 16 Julai - Bursa Malaysia tidak berubah ketika dibuka pada Rabu berikutan prestasi semalaman Wall Street.
Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.29 mata atau 0.02 peratus kepada 1,525.11 daripada 1,525.40 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras dibuka 01.63 mata lebih tinggi kepada 1,523.77.
Lingkungan pasaran adalah negatif, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 178 berbanding 108 manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,877 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan 165.27 juta unit, bernilai RM85.02 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata peningkatan awal Wall Street tidak kekal kerana data inflasi di luar jangkaan gagal meredakan kebimbangan tarif Amerika Syarikat (AS) dan mengukuhkan unjuran bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan kadar faedah.
"Berikutan prestasi lemah Wall Street, Bursa Malaysia dibuka rendah, bagaimanapun kami percaya keadaan keseluruhan mungkin memihak kepada saham teknologi dengan penyambungan semula jualan cip di China dan sektor teknologi di peringkat tempatan mungkin menyaksikan minat belian yang baik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma pembrokeran itu juga memihak kepada sektor amanah pelaburan hartanah berdasarkan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia baru-baru ini sementara sektor pengguna mungkin mendapat manfaat daripada aktiviti penurunan dagangan kerana tekanan inflasi kekal berterusan.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank jatuh satu sen kepada RM9.64, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM13.84, CIMB menguncup tiga sen kepada RM6.60. Public Bank menambah satu sen kepada RM4.27 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.58.
Antara saham paling aktif, NexG naik 0.5 sen kepada 48 sen, Nationgate meningkat dua sen kepada RM1.51, Green Ocean Corporation melonjak satu sen kepada 13.5 sen, Zetrix AI melonjak 1.5 sen kepada 94.5 sen dan TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 7.99 mata kepada 11,468.09, Indeks FBMT 100 jatuh 6.30 mata kepada 11,231.31, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 3.44 mata kepada 11,479.74, Indeks FBM 70 turun 27.40 mata kepada 16,661.0 manakala Indeks FBM ACE susut empat mata kepada 4,583.62.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 17.28 mata kepada 17,485.37, Indeks Tenaga susut 0.93 mata kepada 737.99, Indeks Perladangan naik 13.63 mata kepada 7,432.05 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.02 mata kepada 153.37. -BERNAMA