fb fb fb fb fb

Malaysia kongsi kepakaran perkukuh kerjasama Selatan–Selatan, pembangunan serantau

Pengarah United Nations Office for South-South Cooperation (UNOSSC), Dima Al-Khatib

RIYADH, 15 Disember - Malaysia memiliki pelbagai kepakaran dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh Kerjasama Selatan–Selatan (SSC) menerusi ASEAN yang berperanan sebagai platform serantau utama bagi memperluas peluang pembangunan bersama dalam kalangan negara membangun.

Pengarah United Nations Office for South-South Cooperation (UNOSSC), Dima Al-Khatib berkata kelebihan Malaysia membolehkan negara ini berkongsi kepakaran praktikal dan pengalaman yang relevan untuk membantu negara lain membangun secara mampan.

"Malaysia memiliki kepakaran dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), industri halal, teknologi digital dan pengurusan ketahanan iklim. Pengalaman ini boleh dijadikan model untuk negara lain melalui pertukaran pengetahuan dan latihan praktikal.

"Pengalaman Malaysia dalam mengurus pembangunan PKS, Industri dan persijilan Halal serta transformasi digital menyediakan asas yang kukuh bagi negara membangun yang ingin meningkatkan kapasiti mereka," katanya kepada pemberita pada Persidangan Momentum 2025 di sini, semalam.

Menurut Dima cabaran global seperti kemiskinan, perubahan iklim, dan revolusi teknologi memerlukan kerjasama praktikal antara negara membangun, di mana Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian yang relevan dan berkesan.

Lawatan terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara di Selatan Afrika turut menekankan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan kesatuan SSC, membuka ruang untuk perkongsian teknologi, pembangunan kapasiti, dan pengalaman praktikal yang relevan untuk negara-negara Afrika Selatan.

Malaysia berpotensi menjadi rakan kongsi utama dalam membangunkan SSC, menyokong negara lain menghadapi cabaran pembangunan dan memperkukuh kedudukannya sebagai pemimpin dalam pembangunan serantau dan global.

"Malaysia bukan sahaja menyumbang pengalaman, tetapi juga belajar daripada negara lain. Ini adalah contoh sebenar bagaimana SSC dapat membina kapasiti kolektif dan penyelesaian yang saling menguntungkan," katanya lagi.

Momentum 2025 merupakan persidangan antarabangsa yang berlangsung pada 9 hingga 11 Disember lalu dan menumpukan kepada hala tuju pembiayaan pembangunan, anjuran National Development Fund (NDF).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI