KUALA LUMPUR, 14 Disember – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE 2026) di seluruh negara mulai Februari hingga Oktober 2026, bagi memperkukuh data struktur ekonomi negara termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor ekonomi informal.
Menerusi kenyataan DOSM memaklumkan, banci keenam itu merangkumi semua aktiviti ekonomi bagi tahun rujukan 2025, termasuk prestasi perniagaan, guna tenaga, pelaburan, pendapatan dan perbelanjaan.
Dapatan BE 2026 akan menjadi input utama kepada pelbagai dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), agenda Ekonomi Digital, IR4.0 serta pemerkasaan PMKS dan Bumiputera.
Buat pertama kali, banci tersebut turut meliputi sektor informal seperti penjaja makanan, kedai runcit kecil, pengusaha teksi, homestay dan perniagaan mikro bergerak yang menyumbang kepada ekonomi setempat.
Sabak Bernam dikenal pasti sebagai kawasan signifikan dengan ekonomi berasaskan pertanian, perikanan dan perusahaan mikro.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata penyertaan semua pertubuhan amat penting bagi memastikan data yang dihasilkan tepat, boleh dipercayai dan menyokong pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.