fb fb fb fb fb

FBM KLCI berpotensi cecah 1,700 mata jika rali saham bank berterusan

Foto arkib

KUALA LUMPUR, 15 Disember -Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi meningkat sehingga 1,700 mata sekiranya rali saham perbankan berterusan hingga hujung tahun ini.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, FBM KLCI kini hanya 1.3 peratus untuk mencapai sasaran 1,660 mata menjelang akhir 2025, apabila ditutup 1,637 mata Jumaat lalu.

Firma pelaburan itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan, dengan menganggarkan setiap kenaikan lima peratus dalam harga saham tiga bank utama akan menyumbang sekitar 25 mata kepada indeks utama itu.

''Bagi tahun hadapan, Maybank IB menetapkan sasaran akhir FBM KLCI pada 1,730 mata, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 15 kali.

'Kami jangka tahun 2026 akan disokong oleh hala tuju dasar yang lebih jelas serta momentum pelaksanaan reformasi, di samping peningkatan aktiviti pelaburan dan perbelanjaan domestik,'' menurut nota penyelidikan bank pelaburan itu.

Maybank IB turut mengekalkan keutamaan strateginya terhadap sektor yang berorientasikan domestik diterajui oleh perbankan.

Selain, mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN