fb fb fb fb fb

Pelabur asing kembali catat jualan bersih, aliran keluar dana RM472.1 juta

Foto arkib

KUALA LUMPUR, 15 Disember -Pelabur asing kembali mencatatkan jualan bersih selepas merekodkan aliran masuk pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar dana asing bersih berjumlah RM472.1 juta.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), aliran keluar dicatatkan setiap hari dengan yang tertinggi pada Isnin sebanyak RM195.9 juta.

Manakala Jumaat merekodkan belian belian bersih berjumlah RM47.1 juta.

“Ketiga-tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih pelabur asing minggu lalu ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM113.9 juta), telekomunikasi dan media (RM53.2 juta) serta penjagaan kesihatan (RM5.2 juta).

Sementara itu, institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia dengan merekodkan aliran masuk bersih untuk minggu keempat berturut-turut berjumlah RM534.9 juta, sebaliknya pelabur runcit tempatan mencatat aliran keluar bersih untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak RM62.8 juta,” menurut laporan aliran dana mingguan MBSB IB.

Firma itu turut memaklumkan, purata volum dagangan harian menyusut secara menyeluruh, dengan pelabur runcit tempatan menurun 15.9 peratus, institusi tempatan 2.6 peratus dan pelabur asing 22.0 peratus.

Bagi perkembangan di pasaran serantau, pelabur asing meneruskan aliran belian bersih di pasaran Asia untuk minggu kedua berturut-turut bagi minggu berakhir 12 Disember 2025, dengan merekodkan aliran masuk bersih berjumlah AS$949.8 juta.

Korea Selatan mencatat aliran masuk bersih pelabur asing tertinggi di rantau ini sebanyak AS$1.14 bilion, meskipun isyarat pasaran buruh kekal bercampur.

Di Taiwan, belian asing berterusan untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak AS$820.1 juta, disokong oleh peningkatan ketara momentum perdagangan luar.

Sementara itu, aliran belian bersih pelabur asing di Indonesia dilanjutkan kepada 10 minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah AS$85.5 juta, disokong oleh momentum penggunaan domestik yang semakin baik.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN