KUALA LUMPUR, 19 Julai - Ekonomi negara terus menunjukkan perkembangan positif hasil sumbangan kukuh tiga sektor utama iaitu perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, Hafidzi Razali, ketiga-tiga sektor ini menunjukkan daya tahan yang kukuh, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Selain itu, beberapa aspek lain turut mempengaruhi kedudukan semasa negara termasuk kadar inflasi, dasar subsidi dan pasaran buruh.
“Kadar inflasi semasa yang rendah banyak disokong oleh subsidi, terutamanya petrol RON95. Namun, dengan rasionalisasi subsidi yang bakal dilaksanakan, inflasi dijangka meningkat. Ia langkah perlu untuk menambah hasil dan memperkukuh kedudukan fiskal negara,” katanya.
Beliau turut berpendapat reformasi sistem cukai amat diperlukan bagi memastikan hasil negara lebih menyeluruh dan adil.
"Kadar pengangguran yang turun kepada 3.1 peratus, juga merupakan satu perkembangan yang positif, namun jenis pekerjaan dan pendapatan yang diterima perlu setimpal dengan kos sara hidup semasa", tambahnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataannya semalam menyebut, ekonomi negara pada suku kedua 2025 dijangka berkembang 4.5 peratus, prestasi yang diunjur lebih baik berbanding pertumbuhan 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
Anggaran awalan itu menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia terus kekal pada April dan Mei, dengan jangkaan prestasi lebih kukuh dicatatkan pada Jun.